Impian Selangor untuk merealisasikan misi
memburu kejuaraan Piala Malaysia ke-33 hampir tercapai apabila menumpaskan
Johor FC 3-1 pada saingan suku akhir pertama di Stadium Pasir Gudang.
Skuad gergasi merah terlebih dahulu membuka jaringan
seawal minit ke-11 menerusi ketua pasukan Safiq Rahim.
Pemain tengah Selangor Bunyamin Umar kemudian
menggandakan jaringan pada minit ke-20.
Selangor menambah duka pasukan tuan rumah dengan gol
ketiga hasil jaringan penyerang berbisa Mohd Amri Yahyah pada minit ke-24.
Gol saguhati Johor FC dijaringkan Mohd Akmal Mohd Nor
pada minit ke-52.
Skuad gergasi merah, bagaimanapun terpaksa beraksi dengan
10 pemain pada minit ke-65 apabila Bunyamin diarah keluar padang selepas
dilayangkan kad kuning kedua.
Bunyamin sebelum itu menerima kad kuning pertama selepas
mengasari Mohd Akmal pada minit ke-13 sebelum menerjah keras Mohd Airulridzwan
Razali untuk kad kuning kedua.
Sementara itu, di Stadium Darul Makmur, tuan rumah Pahang
mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas pasukan Lions XII dari Singapura.
Skuad Tok Gajah membuka jaringan seawal minit kesembilan
apabila rembatan Fauzi Rozlandi dalam kotak penalti gagal ditangkap kemas
penjaga gol lawan yang memudahkan pemain import tuan rumah, Maycon Calvalho
menolak masuk bola ke dalam gawang.
Namun, kegembiraan Pahang tidak kekal lama apabila Lions
XII berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-20 hasil rembatan dari luar
kotak penalti oleh Safirul Sulaiman.
Sebaik permainan bersambung, skuad bimbingan Dollah
Salleh menceriakan kira-kira 10,000 penyokongnya menerusi gol kedua pada
minit ke-76 hasil ledakan Hafiz Kamal dari luar kotak penalti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan